NAGA PELANGI II

Sejarah

Tradisi membina perahu daripada kayu di Malaysia kini dapat dikesan jauh lebih awal. Ia sangat diperlukan baik untuk perdagangan jarak jauh, perikanan, penjarahan atau untuk memudik sungai-sungai. Berbagai bentuk perhu dibina sesuai dengan kegunaannya yang pelbagai ini.


  Bentuk-bentuk tipical Perahu Terengganu boats (Lihat ALBUM gambar/Perahu Terengganu/kraft tradisional)
  

Apabila Melaka menjadi sebuah pusat perdagangan rempah ratus yang di bawa daripada kepulauan Maluku (Indonesia), Semenanjung Malaysia menjadi tempat pertemuan pelaut-pelaut dan juga tamadun dari Timur dan Barat. Ketibaan kapal-kapal yang berbagai bentuk dari India, China, Arab, Indonesia, IndoChina dan Eropah memberikan inspirasi kepada pembinaan kapal orang Melayu.

Di Pantai Timur Semenanjung ini, tempat di mana sungai Terengganu mengalir ke laut, terletak sebuah pulau kecil di sebelah kanan muaranya.

Pulau ini mendapat namanya daripada cerita dogeng tentang ikan duyong (nama saintifiknya: Dugong Dugon, order: Sireniae) yang kononnya ditemui di pantai pulau ini satu masa dahulu. Setengah cerita pula mengatakan pulau ini satu masa dahulu pernah dianugerahkan oleh Sultan Terengganu kepada orang-orang Bugis, pelaut daripada kepuluan Celebes (Sulawesi, Indonesia) untuk dijadikan sebagai pelabuhan bebas. Ini bertujuan untuk memajukan kegiatan perdagangan di Pantai Timur ini memandangkan orang-orang Bugis sememangnya terkenal di seluruh Asia Tenggara sebagai pedagang selain daripada tukang perahu dan juga lanun yang ganas. Mereka menetap di sini dan dari sinilah kemahiran membina perahu di Malaysia mula berkembang.

Pada abad ke-19 seorang kapten kapal berbangsa Perancis melaporkan apabila dia sampai di muara Sungai Terengganu dia melihat berbagai-bagai jenis kapal dari seluruh pelosok dunia belabuh di sana. Dhow Arab, Lorcas Portugis, Skuner Inggeris, Wangkang dari China, Vietnam dan Siam serta berbagai-bagai jenis kapal dagang belabuh di luar Pulau Duyong ini. Sultan Terengganu berjaya memakmurkan negerinya hasil kegiatan jual beli di antara kapal-kapal yang berlabuh di sini.


"Duyong" atau Dugong Dugon
  

Dua buah "perahu besar" Terengganu, jenis PINIS dan BEDAR adalah hasil dari difusi budaya ini. Berdasarkan namanya, Perahu Pinis mengambarkan pengaruh Perancis (Fr. pinasse) sementara Bedar pula mewarisi pengaruh dhow Arab/India. Layar cucur dan tiang sprit kedua-duanya pula menunjukkan pengaruh Barat dan tidak ditemui pada perahu layar Melayu kuno. Bentuk layar kedua-duanya pula mengikut layar perahu jong China. Abah-abah yang digunakan dengan tambahan layar seperti parrels, snotter dan lazyjack dapat ditemui dalam karya-karya klasik China sejak 2000 tahun dahulu lagi.

Perahu ini sememangnya terkenal sehingga ke luar Laut China Selatan sebagai sebuah perahu kacukan hasil pelbagai pengaruh. Keaslian ciri tempatan digabungkan dengan keinginan untuk belayar lebih laju dan mudah dikendalikan, serta gabungan kelebihan-kelebihan lain menghasilkan perahu layar yang indah ini.

Tukang-tukang Perahu Terengganu diketahui ketika Perang Dunia Kedua oleh Angkatan Laut Jepun. Mengikut Haji Ali bin Ngah, seorang tukang perahu yang terkenal di Duyong "mereka memancung kepala beberapa orang...", dan ini memaksa para tukang dan pelaut lain membina kapal penyapu periuk api untuk mereka.

Setelah perang tamat, Komander R.A.Kilroy, DSC RN, seorang pegawai Inggeris yang ditempatkan di Singapura mengupah dua orang tukang muda (salah seorangnya ialah Che Ali sendiri) untuk membina sebuah kapal berdasarkan rekabentuknya sendiri dan diberi nama BOLEH. Dengan kapalnya ini dia belayar ke England dan saya menemuinya di Mediteranian pada tahun 1986. Kilroy juga menulis sebuah buku bertajuk "Boleh" yang menceritakan pengembaraannya.


"BOLEH" pada tahun 1986 di Laut Mediteranian.

Sejak tahun 60-an lagi "orang putih" yang berasal dari Perancis, Britain, Australia, New Zealand, Amerika dan German datang ke Duyong ini untuk membina kapal impian mereka. Setengahnya memilih rekabentuk tradisional seperti perahu layar jenis Pinis ataupun Bedar manakala setengah lagi membawa pelan kapal Eropah/Amerika untuk di bina di sini. Apabila saya mula sampai di sini dalam tahun 70-an, perahu-perahu tradisional ini masih beroperasi dan berlabuh di pelabuhan Kuala Terengganu, bersedia untuk belayar ke Thailand mengambil garam dan barang-barang lain untuk diniagakan.

Setelah kemerosotan perdagangan garam ini, tiada lagi kapal layar atau perahu besar dibina tetapi para tukang terus membina perahu-perahu menangkap ikan dan perahu penumpang menggunakan teknik pembinaan yang sama. Peningkatan harga kayu dan kemerosotan sumber perikanan memaksa beberapa bengkel membina perahu gulung tikar. Kini hanya 5 buah bengkel yang masih beroperasi berbanding dengan ratusan orang yang boleh mencari nafkah dengan cara ini 20 tahun dahulu.

Di antara tujuan prokjek ini ialah supaya kesenian silam pembinaan perahu daripada kayu ini dapat dipelihara.

NAGA PELANGI II

Unsur penting warisan kebudayaan Melayu ini tidak harus terkubur!


Belayar dengan Naga Pelangi, sebuah bedar sepanjang 45 kaki hasil tangan Che Ali bin Ngah dan anak-anaknya, Hassan, Yusuf serta Ariffin, mengajar saya betapa hebatnya perahu hasil kerja tangan mereka. Dalam pelayaran mengelilingi dunia Naga Pelangi membelah ombak dengan gemalainya tetapi bertahan walaupun dilambung alun taufan Ana berhampiran kepulauan Palau, Pasifik Barat (January 1997).

Kami berharap dapat mencetuskan inspirasi kepada generasi muda Melayu supaya mempelajari seni warisan ini dan menampilkan kualiti unggul kesenian silam pembinaan perahu ini.

Kami juga berhasrat menjadikan pelayaran perahu layar yang anggun ini sebagai satu pemandangan yang lazim dapat di lihat di perairan Asia Tenggara dan popular di kalangan warga Malaysia. Teluk-teluk indah dan pulau karang yang terpelihara seperti Pulau Kapas, Redang, Perhentian dan lain-lain yang berada sangat dekat dengan Kuala Terengganu menanti untuk dilawati.


     Sedang belayar:
Bedar "SETIA". Pertengahan abad yang lalu di Laut China Selatan.